Menyingkap misteri di Balik Pulau bersama penulis En Solmi Ahmad, dan diolah/diringkaskan semula oleh Zaliha Sulaiman(webmaster). PID akan menyiarkan misteri-misteri di Balik Pulau setiap bulan atau dua minggu sekali bergantung kepada bahan rujukan(research). September -Batu Nisan di perdu Getah
PONDOK UPEH-Terdapatnya batu nisan yang terbit keluar dari perdu pokok getah yang dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun. Pelik tapi benar, batu nisan di perdu getah. Ada pelbagai tangkapan dibuat ada yang mengatakan batu nisan itu memang terbit dari perdu getah kerana ia terbenam kemas di dalam batang pokok itu. ada pula menganggap dengan sumpahan terhadap si mati yang pernah melakukan amalan baik semasa hayatnya sehingga pusaranya turut dilidungi oleh pohon getah yang sebesar dua pemeluk.

Malah ada pula yang menganggap pohon getah itu sendiri tumbuh di situ bersama batu nisan kerana mahu terus mengekalkan pusara itu sehingga selama-lamanya untuk mengelakkannya daripada ianya terhakis,' kata seorang penduduk di situ Haji Haron Hashim, 66 tahun. Dia yang juga seorang tok siak di salah sebuah masjid di sini berkata 'Memanglah aneh melihat batu nisan terbit keluar dari perdu getah. Saya sendiri pernah tertanya-tanya macam mana perkara ini boleh berlaku.Takkan pula orang dahulu mengkebumikan jenazah di perdu getah dan mencacak nisan di pangkal pokok itu,' katanya yang berasal dari Sungai Pinang di sini.

Malah kubur itu wujud sejak 100 tahun lalu dan kini terbiar kecuali hanya sekali sekala penduduk di sini datang untuk membersihkannya yang ditumbuhi lalang, rumput gajah dan pokok-pokok kecil. Ketika penulis dibawa meninjau dipersekitaran kubur itu mendapati pusara itu tercatat tarikh pengkebumian pada tahun 1924 iaitu seorang wanita. Ditanya mengenai batu nisan yang terjuih keluar dari pokok getah Haji Din salah seorang penduduk berkata: 'Saya percaya ini mungkin disebabkan biji getah dari pohon yang herhampiran tumbuh di pusara itu. Apabila sudah berpuluh-puluh tahun tidak di cabut maka ia pun tumbuh bersama nisan tersebut.

Kata -kata Haji Din turut disokong oleh Haji Harun yang yakin bahawa proses kejadian ini mengambil masa yang agak lama. 'Tetapi apa salahnya kalau ada pegawai dari Jabatan Pertanian datang ke sini untuk membuat kajian sama ada benar batu nisan itu keluar dari pokok getah,' soal Pak Haji Harun yajng inginkan kepastian. Sementara itu Pak Haji Harun turut menunjukkan rupa salah satu pohon getah yang tidak pernah ditoreh menyerupai seperti 'hantu pucung' kerana terdapat mata pada sekeliling batangnya. 'Kalau diwaktu malam sesiapa yang menyuluh pokok aneh ini pasti dia akan terkejut melihat wajah hantu pucung yang berbalut kain kapan,' katanya sambil ketawa berdekah-dekah. 'Kalau nak mengusik orang yang suka datang di sini pada waktu malam memang menarik sekali,' saran Tok Siak itu sambil menepuk-nepuk pokok getah tersebut.